SeLaMaT DaTaNg

Selamat Datang kepada anda semua..
Diharap blog ini dapat membantu anda dalam kehidupan seharian...

Jumaat, 20 Julai 2012

Rancang Ramadhan anda


Saban tahun, apabila tiba Ramadan, kita dapat lihat pelbagai kata-kata aluan yang dilahirkan sama ada melalui poster-poster, masjid, televisyen, radio, internet dan banyak lagi sebagai tanda gembira dan seronok dengan kehadiran bulan yang penuh berkat ini. Tidak kurang juga diulang-ulang fadilat atau kelebihan-kelebihan bulan ini sebagai motivasi kepada kita semua agar bersungguh-sungguh dan berusaha gigih dalam menghidupkan bulan ini.
Namun begitu, seringkali Ramadan tetap berlalu dengan sia-sia dan tidak seperti yang diharapkan. Niat sudah dipasang, semangat pun berkobar-kobar dengan penuh keazaman. Namun, apabila tiba sahaja Ramadan, pasti berulang perkara yang sama  sehingga kita menjadi pening dan keliru dengan situasi ini.
Ada yang semangatnya tinggi pada awal-awal bulan sebaliknya prestasi ibadat jadi semakin merudum sehingga ke akhir bulan. Ada pula yang momentumnya hanya bermula pada tengah-tengah bulan dan yang lebih teruk, ada yang Ramadannya berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan. Di manakah silapnya?
“Jika kamu gagal merancang, maka kamu telah merancang untuk gagal”. Ungkapan ini sangat popular dalam kalangan masyarakat kita. Konsep yang sama juga diaplikasikan dalam kita mengejar Ramadan yang bermutu. Hal ini kerana kita tidak boleh mengharapkan ganjaran tanpa usaha. Hasil yang terbaik akan kita peroleh dengan perancangan yang teliti dan bersungguh-sungguh.
Tiga puluh hari Ramadan itu bagaikan modal yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya untuk dimanfaatkan sebaik-baiknya. Tanpa perancangan yang baik, kita akan menjadi tidak teratur dan kelam kabut. Kita akan jadi tidak jelas dengan perkara yang sepatutnya dicapai pada bulan ini. Hal ini boleh menyebabkan kita terkandas dalam usaha merebut ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT.
Sebuah perniagaan yang tanpa perancangan dan pengurusan yang baik akan berdepan dengan kerugian. Begitu juga dengan bulan Ramadan, tanpa perancangan dan pengurusan yang baik kita akan berdepan dengan risiko kerugian. Maksud hadis Rasulullah SAW: “Rugi dan celakalah sesiapa yang menemui Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya”. Jika dalam urusan keduniaan kita sanggup merancang kerana takut mendapat kerugian dan kegagalan, apatah lagi dalam menghadapi Ramadan.
Konsep perancangan untuk Ramadan sama sahaja dengan konsep perancangan dalam urusan-urusan lain, ada objektif dan wasilah.  Gariskan objektif yang ingin dicapai dalam Ramadan tahun ini dan apakah mekanisme yang harus dilaksanakan bagi memastikan objektif ini tercapai.
Senaraikan aktiviti-aktiviti yang ingin dilakukan pada bulan Ramadan dan susunkan sama ada dalam bentuk jadual ataupun buat senarai semak untuk memastikan semua aktiviti yang dirancangkan dapat dipantau dan terlaksana dengan baik. Jika tidak yakin mampu dilakukan bersendirian, boleh sahaja diajak kawan-kawan untuk turut serta dalam perancangan ini agar boleh saling membantu.
Contohnya, objektif pada bulan Ramadan tahun ini ialah ingin meningkatkan kadar ibadah dan target yang harus dicapai ialah khatam Al-Quran sebanyak dua kali dan ingin qiamullail pada setiap hari. Maka, dalam usaha untuk melaksanakan perancangan ini, kita haruslah menetapkan sekurang-kurangnya menghabiskan dua juzuk bacaan setiap hari dan tidur awal pada setiap malam selepas solat terawih. Dua perkara ini hendaklah dicatat dalam senarai semak supaya dapat dipantau dengan baik.
Mudah-mudahan, dengan dengan kita merancang Ramadan ini, Allah SWT memandangnya sebagai tanda keinginan dan usaha yang serius dan ikhlas dalam mendekatkan diri kepada-Nya melalui peluang yang disediakan oleh-Nya seperti bulan Ramadan, lalu kita dianugerahkan dengan ganjaran yang besar pada Ramadan ini.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir

Persediaan Ramadan


Pernahkah anda berada di dalam situasi di mana anda diberikan satu tempoh masa untuk melakukan sesuatu dan setelah tempoh itu habis, maka anda dilarang dari melakukan perkara tersebut? Sekiranya perkara ini terjadi, maka apakah tindakan yang akan anda lakukan?
Sebagai contoh, anda diberi masa sebulan untuk menyiapkan sebuah kereta untuk satu perlumbaan. Setelah tempoh sebulan berlalu, anda tidak dibenarkan lagi melakukan apa-apa. Sudah tentu anda akan menggunakan masa sebulan itu dengan sebaik mungkin untuk menyediakan kereta yang terbaik. Tayar terbaik digunakan, minyak mencukupi dan berkualiti, badan kereta yang sesuai untuk berlumba dan bermacam-macam lagi yang anda lakukan.
Berdasarkan tajuk kali ini, pernahkah anda terfikir bahawa syaitan juga akan menggunakan masa dan peluang yang ada dengan semaksima dan sebaik mungkin untuk persiapan melalui bulan Ramadan?
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Daripada Rasulullah SAW:
“Apabila masuk bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu  syaitan-syaitan”  (riwayat Bukhari)
Berdasarkan mafhum hadis ini, ketahuilah kita bahawa syaitan akan dibelenggu pada bulan Ramadan. Jadi sudah tentu syaitan akan menghasut, mengerahkan segala usaha, menggunakan segala tipu daya agar segala janji syaitan untuk menyesatkan manusia terlaksana walau dalam keadaan mereka dibelenggu di bulan Ramadan.
Nafsu manusia akan dilatih, disuap, dibelai dihidangkan dengan keseronokan dan keasyikan agar di bulan Ramadan nanti, ia akan menjadi raja yang memerintah manusia. Itulah yang sering terjadi. Walau di bulan Ramadan, masih ada kerosakan dan maksiat yang dilakukan manusia.
Dengan itu, ketahuilah kita bahawa masa atau fasa sebelum masuknya bulan Ramadan adalah fasa dan waktu yang sangat kritikal. Ia akan menentukan keberjayaan dan prestasi kita pada bulan Ramadan tersebut.
Sebagaimana nabi kita Muhammad SAW mendidik kita dengan doa seperti yang diriwayatkan oleh Anas RA bahawa Rasulullah SAW, apabila memasuki bulan Rejab berkata: Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan – riwayat Imam Ahmad dan al-Tabarani.
Begitulah antara isyarat-isyarat yang baginda tunjukkan kepada kita. Pentingnya keberkatan dari Allah serta perlindungan dan rahmat-Nya pada fasa dan waktu sebelum kita memasuki bulan Ramadan.
Jadi,bagaimanakah caranya untuk kita persiapkan diri kita dalam tempoh waktu yang kritikal ini? Apakah yang perlu kita lakukan?
Ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan antaranya:
  1. Seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW hendaklah kita selalu berdoa “Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Kerana hanya dengan hidayah dan kasih sayang Allah sahaja yang mampu menyelamatkan kita dari nafsu dan syaitan.
  2. Bertaubat yang benar. Agar hati kita bersih dari belenggu dosa dan nafsu yang menyesatkan. Mudah bagi kita untuk melawan nafsu. Agar di bulan Ramadan, kita seperti kain putih yang ingin dicorakkan dengan tarbiyyah Allah SWT.
  3. Perbanyakkan puasa sunat kerana ia mampu mendidik dan melatih nafsu kita. Mengawal diri kita dari keinginan yang merosakkan. Puasa sunat di bulan Rejab dan Sya’ban, puasa Isnin dan Khamis. Jika ada puasa yang perlu diganti, maka bersegeralah menggantikannya.
  4. Perbanyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Agar waktu-waktu terluang kita diisi dengan beribadah kepada Allah. Kerana jika tidak, sudah tentu kita akan mengisinya dengan perkara yang sia-sia dan maksiat.
  5. Menghidupkan suasana di rumah dan di tempat-tempat yang selalu kita ada seperti di tempat kerja dan juga di dalam kenderaan. Kita boleh menampal poster atau kad berkaitan Ramadan,memasang lagu Ramadan, menghantar SMS dan kad ucapan Ramadan, menanda kalendar agar kita sentiasa sedar akan kedatangan Ramadan dan bersedia untuk menyambutnya.
  6. Muhasabah diri. Sekiranya dalam tempoh waktu yang kritikal ini kita masih lagi leka dan alpa dengan perkara kemaksiatan dan perkara yang sia-sia seperti melihat perkara yang haram, melayan movie yang tidak elok, bermain game 24 jam, mencarut, membuang masa, meringan-ringankan sembahyang, maka ketika itu haruslah kita berhenti dan berazam meninggalkannya sebelum kita terlewat. Kerana apabila kita sudah biasa melakukannya, maka kita akan terbiasa melakukannya walau ketika bulan Ramadan.
  7. Melatih diri dari sekarang dengan bersedekah, qiamullail, berzikir, puasa sunat, membaca quran, melawan perasaan malas.
  8. Merancang Ramadan anda. Kalau boleh sediakan borang atau senarai perkara-perkara yang perlu dan ingin dicapai di bulan Ramadan. Seperti sasaran berapa kali hendak khatam, solat fardhu jemaah di masjid, qiamullail, sedekah dan lain-lain.
Itulah serba sedikit perkongsian persediaan-persediaan yang lebih utama kita lakukan dalam tempoh kritikal sebelum kita menyambut Ramadhan.
"Rugilah bagi sesiapa yang melalui Ramadhan dan Allah tidak mengampunkan dosanya."
Oleh: Haidar Mahmud,
Usuluddin,
Universiti Al-Azhar (Mansurah)
Sumber: Laman Web ISMA Mesir

Ayat-ayat tarbiyah jiwa


Berdasarkan tajuk di atas, penulis akan mendatangkan beberapa ayat Al-Quran yang menceritakan tentang tarbiyah dan akan menghuraikan ayat-ayat tersebut secara ringkas.
Umumnya di dalam Al-Quran, kesemua ayat merupakan ayat-ayat tarbiyah kerana tujuan Al-Quran diturunkan adalah untuk mengubah manusia daripada tidak mengenali Allah kepada mengenali Allah. Namun di dalam artikel ini, penulis hanya mendatangkan beberapa ayat yang dipilih secara sengaja sebagai rujukan dan pemudah cara jika ada yang mahu merujuk untuk dijadikan bahan tazkirah atau sebagainya.
Di dalam buku Wasail Tarbiyah Indal Ikhwan karangan Dr Ali Abdul Halim Mahmud, beliau mendefinisikan tarbiyah di sisi Ikhwan sebagai cara (uslub) yang terbaik dalam berinteraksi dengan fitrah manusia secara langsung (iaitu dengan perkataan) atau tidak langsung (iaitu dengan tingkah laku/qudwah) berdasarkan method (manhaj) yang tertentu, menggunakan medium (wasilah) tertentu demi mewujudkan perubahan dalam diri manusia menjadi lebih baik.
Berdasarkan definisi tersebut, tarbiyah yang dimaksudkan adalah perubahan pada individu dalam skop yang cukup luas. Boleh jadi dalam aspek fizikal, mental mahupun spiritual. Oleh yang demikian, penulis akan memilih tarbiyah jiwa sebagai topik utama di dalam artikel ini.
Tarbiyah jiwa (tarbiyah ruhiyah atau tazkiyyatun nafs) adalah satu perkara yang amat penting di dalam Islam. Menurut Imam Syahid Hasan Al-Banna, para pendakwah merupakan mereka yang paling berhajat kepada cahaya hidayah untuk meneruskan jalan dakwah ini. Dakwah memerlukan jiwa yang bersih, kerana dakwah ini suci dan bersih. Dakwah hanya berjaya jika hati pendakwah dekat dengan Allah.
Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang boleh kita jadikan pedoman dan panduan dalam usaha kita mentarbiyah jiwa:
1. Wahai manusia, apakah yang telah menyebabkan engkau lalai dan leka daripada mengingati Tuhanmu yang mulia? Yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan anggota itu diciptakan), dalam apa jua bentuk dan rupa Allah menyusun kejadianmu seperti mana yang Dia kehendaki. (Al-Infithor : 6-8)
Allah mempersoalkan manusia yang leka dan lalai daripada mengingati-Nya, apakah sebab kelalaian tersebut sedangkan Allah telah menyempurnakan kejadian manusia dengan sebaik-baik kejadian? Hebat sangatkah kita ini sehingga tidak mahu melaksanakan apa yang disuruh dan melakukan apa yang dilarang?
Allah juga mengingatkan manusia bahawa Pencipta yang Maha Hebat hanyalah Allah. Dialah yang menghidupkan dan mematikan, memberi rezeki dan mengurniakan segala nikmat, yang menghilangkan lapar dan dahaga, yang memiliki dunia dan seisinya.
Adakah hati kita sudah keras dan penuh berkarat dengan dosa sehingga kita lupa asal-usul kita?
Kembalilah kepada Allah, tunaikanlah tanggungjawab dan amanah yang terpikul di bahu. Cukuplah ayat ini mampu menggetarkan jiwa dan menyebabkan kita menangis menginsafi segala kesalahan dan kekurangan.
2. Adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkannya semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat). (Al-An’am : 122)
Hati yang hidup dapat merasakan kelazatan ibadah dan menyedari dirinya sentiasa diperhatikan Allah. Dirinya tenang dalam apa jua keadaan. Kehidupannya lebih indah dan menarik berbanding orang yang memiliki hati yang sudah mati. Seolah-oleh tiada kehidupan baginya.
Pepatah Arab mengatakan: Jika jiwa itu besar, jasad akan berasa letih (kerana menuruti kehendak hati). Ertinya, jika kita memiliki hati yang hidup, kita menjadi kuat dan hebat! Bayangkan jika umat Islam seluruh dunia, bermula di negara China sehingga yang berada di hujung Amerika Syarikat, memiliki hati seperti ini, sudah pasti keadaannya tidak sama dengan realiti yang berlaku pada umat hari ini.
Oleh itu, berusahalah memiliki hati yang hidup dengan bacaan Al-Quran, zikrullah, solat jemaah dan puasa sunat.
3. Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya), serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As-Syams : 7-10)
Setiap manusia tidak akan terlepas dengan ujian. Dia di antara 2 tarikan, tarikan iman dan tarikan nafsu dan syaitan. Terbentang 2 pilihan di hadapannya, sama ada mahu yang bersih atau yang kotor. Tarikan kejahatan sentiasa mengintai-intai, mencari-cari peluang. Perkara haram dihias menjadi cantik, semua yang fana diubah kelihatan indah.
Maka tatkala diuji, wajiblah kita bermujahadah melawan kehendak nafsu dan pujukan syaitan. Gunakan benteng iman. Berpesan-pesan dengan kebenaran dan penuh kesabaran.
Tiga ayat di atas perlu dihayati dan diamalkan. Diulang-ulang bacaan agar terlekat kuat dalam ingatan. Usah mengharap menawan gunung yang tinggi jika nafsu masih belum dapat dibendung. Inilah tarbiyah jiwa yang diajar oleh Al-Quran.
Imam Syahid Hasan Al-Banna berkata di dalam Risalah Muktamar Kelima: “Sesungguhnya proses pembinaan umat dan mendidik masyarakat, menggapai cita-cita dan memenangkan prinsip memerlukan ummah yang memiliki ‘kekuatan jiwa’ yang terungkap seperti berikut; keinginan yang padu yang tidak mampu dilemahkan, kesetiaan tanpa pengkhianatan, pengorbanan yang mulia yang membuang rasa bakhil dan mengetahui prinsip dan beriman dengan prinsip tersebut.
Di sinilah perjuangan umat ini bermula. Tarbiyah jiwa di permulaan dan di pengakhiran jalan.
Oleh:
Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin,
Pegawai Penyelidik,
Ikatan Muslimin Malaysia

Diambil daripada :
http://www.ismaweb.net/v4/2012/05/ayat-ayat-tarbiyah-jiwa/