Berdasarkan tajuk di atas, penulis akan
mendatangkan beberapa ayat Al-Quran yang menceritakan tentang tarbiyah
dan akan menghuraikan ayat-ayat tersebut secara ringkas.
Umumnya di dalam Al-Quran, kesemua ayat
merupakan ayat-ayat tarbiyah kerana tujuan Al-Quran diturunkan adalah
untuk mengubah manusia daripada tidak mengenali Allah kepada mengenali
Allah. Namun di dalam artikel ini, penulis hanya mendatangkan beberapa
ayat yang dipilih secara sengaja sebagai rujukan dan pemudah cara jika
ada yang mahu merujuk untuk dijadikan bahan tazkirah atau sebagainya.
Di dalam buku Wasail Tarbiyah Indal
Ikhwan karangan Dr Ali Abdul Halim Mahmud, beliau mendefinisikan
tarbiyah di sisi Ikhwan sebagai cara (uslub) yang terbaik dalam
berinteraksi dengan fitrah manusia secara langsung (iaitu dengan
perkataan) atau tidak langsung (iaitu dengan tingkah laku/qudwah)
berdasarkan method (manhaj) yang tertentu, menggunakan medium (wasilah)
tertentu demi mewujudkan perubahan dalam diri manusia menjadi lebih
baik.
Berdasarkan definisi tersebut, tarbiyah
yang dimaksudkan adalah perubahan pada individu dalam skop yang cukup
luas. Boleh jadi dalam aspek fizikal, mental mahupun spiritual. Oleh
yang demikian, penulis akan memilih tarbiyah jiwa sebagai topik utama di
dalam artikel ini.
Tarbiyah jiwa (tarbiyah ruhiyah atau
tazkiyyatun nafs) adalah satu perkara yang amat penting di dalam Islam.
Menurut Imam Syahid Hasan Al-Banna, para pendakwah merupakan mereka yang
paling berhajat kepada cahaya hidayah untuk meneruskan jalan dakwah
ini. Dakwah memerlukan jiwa yang bersih, kerana dakwah ini suci dan
bersih. Dakwah hanya berjaya jika hati pendakwah dekat dengan Allah.
Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang boleh kita jadikan pedoman dan panduan dalam usaha kita mentarbiyah jiwa:
1. Wahai manusia, apakah yang telah
menyebabkan engkau lalai dan leka daripada mengingati Tuhanmu yang
mulia? Yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan
anggotamu sesuai (dengan tujuan anggota itu diciptakan), dalam apa jua
bentuk dan rupa Allah menyusun kejadianmu seperti mana yang Dia
kehendaki. (Al-Infithor : 6-8)
Allah mempersoalkan manusia yang leka
dan lalai daripada mengingati-Nya, apakah sebab kelalaian tersebut
sedangkan Allah telah menyempurnakan kejadian manusia dengan sebaik-baik
kejadian? Hebat sangatkah kita ini sehingga tidak mahu melaksanakan apa
yang disuruh dan melakukan apa yang dilarang?
Allah juga mengingatkan manusia bahawa
Pencipta yang Maha Hebat hanyalah Allah. Dialah yang menghidupkan dan
mematikan, memberi rezeki dan mengurniakan segala nikmat, yang
menghilangkan lapar dan dahaga, yang memiliki dunia dan seisinya.
Adakah hati kita sudah keras dan penuh berkarat dengan dosa sehingga kita lupa asal-usul kita?
Kembalilah kepada Allah, tunaikanlah
tanggungjawab dan amanah yang terpikul di bahu. Cukuplah ayat ini mampu
menggetarkan jiwa dan menyebabkan kita menangis menginsafi segala
kesalahan dan kekurangan.
2. Adakah orang yang mati (hatinya
dengan kufur), kemudian Kami hidupkannya semula (dengan hidayah
petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi
(sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah,
dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat
manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang
tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar
sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan
keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada
pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah
lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat). (Al-An’am :
122)
Hati yang hidup dapat merasakan
kelazatan ibadah dan menyedari dirinya sentiasa diperhatikan Allah.
Dirinya tenang dalam apa jua keadaan. Kehidupannya lebih indah dan
menarik berbanding orang yang memiliki hati yang sudah mati. Seolah-oleh
tiada kehidupan baginya.
Pepatah Arab mengatakan: Jika jiwa itu
besar, jasad akan berasa letih (kerana menuruti kehendak hati). Ertinya,
jika kita memiliki hati yang hidup, kita menjadi kuat dan hebat!
Bayangkan jika umat Islam seluruh dunia, bermula di negara China
sehingga yang berada di hujung Amerika Syarikat, memiliki hati seperti
ini, sudah pasti keadaannya tidak sama dengan realiti yang berlaku pada
umat hari ini.
Oleh itu, berusahalah memiliki hati yang hidup dengan bacaan Al-Quran, zikrullah, solat jemaah dan puasa sunat.
3. Demi diri manusia dan yang
menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan
keadaannya), serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang
membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia
bersih – bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya
hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut
dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As-Syams :
7-10)
Setiap manusia tidak akan terlepas
dengan ujian. Dia di antara 2 tarikan, tarikan iman dan tarikan nafsu
dan syaitan. Terbentang 2 pilihan di hadapannya, sama ada mahu yang
bersih atau yang kotor. Tarikan kejahatan sentiasa mengintai-intai,
mencari-cari peluang. Perkara haram dihias menjadi cantik, semua yang
fana diubah kelihatan indah.
Maka tatkala diuji, wajiblah kita
bermujahadah melawan kehendak nafsu dan pujukan syaitan. Gunakan benteng
iman. Berpesan-pesan dengan kebenaran dan penuh kesabaran.
Tiga ayat di atas perlu dihayati dan
diamalkan. Diulang-ulang bacaan agar terlekat kuat dalam ingatan. Usah
mengharap menawan gunung yang tinggi jika nafsu masih belum dapat
dibendung. Inilah tarbiyah jiwa yang diajar oleh Al-Quran.
Imam Syahid Hasan Al-Banna berkata di
dalam Risalah Muktamar Kelima: “Sesungguhnya proses pembinaan umat dan
mendidik masyarakat, menggapai cita-cita dan memenangkan prinsip
memerlukan ummah yang memiliki ‘kekuatan jiwa’ yang terungkap seperti
berikut; keinginan yang padu yang tidak mampu dilemahkan, kesetiaan
tanpa pengkhianatan, pengorbanan yang mulia yang membuang rasa bakhil
dan mengetahui prinsip dan beriman dengan prinsip tersebut.
Di sinilah perjuangan umat ini bermula. Tarbiyah jiwa di permulaan dan di pengakhiran jalan.
Oleh:
Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin,
Pegawai Penyelidik,
Ikatan Muslimin Malaysia
Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin,
Pegawai Penyelidik,
Ikatan Muslimin Malaysia
Diambil daripada :
http://www.ismaweb.net/v4/2012/05/ayat-ayat-tarbiyah-jiwa/

Tiada ulasan:
Catat Ulasan