Saban tahun, apabila tiba Ramadan, kita
dapat lihat pelbagai kata-kata aluan yang dilahirkan sama ada melalui
poster-poster, masjid, televisyen, radio, internet dan banyak lagi
sebagai tanda gembira dan seronok dengan kehadiran bulan yang penuh
berkat ini. Tidak kurang juga diulang-ulang fadilat atau
kelebihan-kelebihan bulan ini sebagai motivasi kepada kita semua agar
bersungguh-sungguh dan berusaha gigih dalam menghidupkan bulan ini.
Namun begitu, seringkali Ramadan tetap
berlalu dengan sia-sia dan tidak seperti yang diharapkan. Niat sudah
dipasang, semangat pun berkobar-kobar dengan penuh keazaman. Namun,
apabila tiba sahaja Ramadan, pasti berulang perkara yang sama sehingga
kita menjadi pening dan keliru dengan situasi ini.
Ada yang semangatnya tinggi pada
awal-awal bulan sebaliknya prestasi ibadat jadi semakin merudum sehingga
ke akhir bulan. Ada pula yang momentumnya hanya bermula pada
tengah-tengah bulan dan yang lebih teruk, ada yang Ramadannya berlalu
begitu sahaja tanpa dimanfaatkan. Di manakah silapnya?
“Jika kamu gagal merancang, maka kamu telah merancang untuk gagal”.
Ungkapan ini sangat popular dalam kalangan masyarakat kita. Konsep yang
sama juga diaplikasikan dalam kita mengejar Ramadan yang bermutu. Hal
ini kerana kita tidak boleh mengharapkan ganjaran tanpa usaha. Hasil
yang terbaik akan kita peroleh dengan perancangan yang teliti dan
bersungguh-sungguh.
Tiga puluh hari Ramadan itu bagaikan
modal yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya untuk
dimanfaatkan sebaik-baiknya. Tanpa perancangan yang baik, kita akan
menjadi tidak teratur dan kelam kabut. Kita akan jadi tidak jelas dengan
perkara yang sepatutnya dicapai pada bulan ini. Hal ini boleh
menyebabkan kita terkandas dalam usaha merebut ganjaran yang disediakan
oleh Allah SWT.
Sebuah perniagaan yang tanpa perancangan
dan pengurusan yang baik akan berdepan dengan kerugian. Begitu juga
dengan bulan Ramadan, tanpa perancangan dan pengurusan yang baik kita
akan berdepan dengan risiko kerugian. Maksud hadis Rasulullah SAW: “Rugi dan celakalah sesiapa yang menemui Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya”.
Jika dalam urusan keduniaan kita sanggup merancang kerana takut
mendapat kerugian dan kegagalan, apatah lagi dalam menghadapi Ramadan.
Konsep perancangan untuk Ramadan sama
sahaja dengan konsep perancangan dalam urusan-urusan lain, ada objektif
dan wasilah. Gariskan objektif yang ingin dicapai dalam Ramadan tahun
ini dan apakah mekanisme yang harus dilaksanakan bagi memastikan
objektif ini tercapai.
Senaraikan aktiviti-aktiviti yang ingin
dilakukan pada bulan Ramadan dan susunkan sama ada dalam bentuk jadual
ataupun buat senarai semak untuk memastikan semua aktiviti yang
dirancangkan dapat dipantau dan terlaksana dengan baik. Jika tidak yakin
mampu dilakukan bersendirian, boleh sahaja diajak kawan-kawan untuk
turut serta dalam perancangan ini agar boleh saling membantu.
Contohnya, objektif pada bulan Ramadan
tahun ini ialah ingin meningkatkan kadar ibadah dan target yang harus
dicapai ialah khatam Al-Quran sebanyak dua kali dan ingin qiamullail
pada setiap hari. Maka, dalam usaha untuk melaksanakan perancangan ini,
kita haruslah menetapkan sekurang-kurangnya menghabiskan dua juzuk
bacaan setiap hari dan tidur awal pada setiap malam selepas solat
terawih. Dua perkara ini hendaklah dicatat dalam senarai semak supaya
dapat dipantau dengan baik.
Mudah-mudahan, dengan dengan kita
merancang Ramadan ini, Allah SWT memandangnya sebagai tanda keinginan
dan usaha yang serius dan ikhlas dalam mendekatkan diri kepada-Nya
melalui peluang yang disediakan oleh-Nya seperti bulan Ramadan, lalu
kita dianugerahkan dengan ganjaran yang besar pada Ramadan ini.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir

Tiada ulasan:
Catat Ulasan